TAPAH: Semua Ahli Parlimen diminta berkongsi peruntukan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing bagi mengelakkan sebarang masalah yang boleh menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang disalurkan itu bukanlah diberi secara peribadi, sebaliknya disalurkan untuk kepentingan rakyat.

Menurut Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden itu, terdapat Ahli Parlimen yang bukan di kalangan Ketua Bahagian UMNO yang enggan berkongsi peruntukan kerana mempunyai agenda peribadi di masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau mahu semua ahli parlimen mencontohi Ahli Parlimen Tapah, Datuk M. Saravanan yang menyalurkan sebahagian besar peruntukkannya kepada dua ADUN dari UMNO dan MCA di parlimen berkenaan.

“Jika semua Ahli Parlimen dapat berkongsi peruntukannya dengan lain-lain ADUN dan kebetulan jika Ahli Parlimen bukan ketua bahagian, jangan wujudkan masalah dengan ketua bahagian.

“Berkongsilah kerana peruntukan itu bukan diberikan secara peribadi kepada seseorang ADUN atau Ahli Parlimen, ianya diberikan untuk kepentingan rakyat, rakyat harus diberikan keutamaan kerana rakyatlah yang dahagakan peruntukan ini, demi kepentingan mereka bersama, itu yang seharusnya dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tapah di Dewan Merdeka Tapah pada Ahad.

Saravanan yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan turut hadir di majlis itu bersama-sama Ketua UMNO Bahagian Tapah merangkap ADUN Air Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan, Pengerusi MCA Perak merangkap ADUN Chenderiang, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Samsudin memberitahu, Saravanan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta kepada UMNO daripada RM6 juta peruntukan tahunan yang diterimanya.