KUALA LUMPUR: Sebagai menghormati pemergian Sandra Dianne ke rahmahtullah, stesen penyiar Astro membuat keputusan untuk menangguhkan konsert mingguan kelima Big Stage 2020 pada Ahad ini.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal, stesen berkenaan bagaimanapun, akan mengadakan konsert khas mengenang Allahyarham, #SandraDalamKenangan bagi mengenang penglibatan bintang itu dalam dunia seni.

“Pemergian arwah Sandra merupakan sebuah kehilangan yang besar buat kami. Oleh itu, sebagai tanda penghormatan terakhir, pihak Astro mengambil keputusan untuk tidak meneruskan konsert Big Stage 2020 pusingan kelima pada Ahad ini seperti kebiasaan.

“Sebaliknya, (Astro) bakal mengadakan sebuah konsert tribute istimewa berjudul #SandraDalamKenangan bagi mengenang arwah dan penglibatan beliau dalam industri seni tanah air terutamanya sepanjang pertandingan Big Stage 2020 berlangsung,” kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Astro, kata Emarina, merancang untuk mengadakan kenduri tahlil untuk Allahyarham dalam masa terdekat.

Stesen penyiaran berkenaan juga, jelasnya, akan turut membantu daripada aspek pengurusan termasuklah membiayai kos penghantaran pulang jenazah Allahyarham Sandra ke kampung halamannya di Tuaran, Sabah selain menghulurkan sumbangan ikhlas bagi meringankan beban keluarganya.

Pada 5 September lalu, Sandra, atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Insiden tersebut berlaku ketika penyanyi kelahiran Sabah itu dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk menjalani sesi latihan penuh konsert minggu keempat.

Ekoran kemalangan itu, Sandra tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.

Allahyarham Sandra menghembuskan nafas terakhir pada awal pagi Jumaat dan jenazahnya akan dikebumikan di kampungnya iaitu di Kg. Kauluan, Tuaran, Sabah.