TANAH MERAH: Seorang konstabel polis terpaksa menerima enam jahitan di jari tangan kanan selepas ditetak dengan parang ketika menjalankan tugas risikan di Kampung Bukit Capong Kuala Tiga, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 22 tahun yang bertugas di Balai Polis Gual Ipoh cedera di jari telunjuk kanan, calar di belakang kepala dan belakang badan akibat diserang menggunakan senjata berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamed, berkata sebelum kejadian mangsa bersama seorang rakannya sedang melakukan rondaan mengesan kegiatan pengedaran dadah dalam Ops Bersepadu di Kampung Peralla di sini.

“Ketika rondaan itu mangsa terserempak dengan sekumpulan lima lelaki bersama motosikal masing-masing dan cuba menahan seorang suspek yang dikenali kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, mangsa dipukul di kepala dari arah belakang. Dia kemudian menoleh ke belakang dan mendapati seorang lelaki dipercayai bapa suspek memegang sebilah parang,” katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian melarikan diri sejauh 100 meter untuk menyelamatkan diri selepas dikejar suspek dan rakannya sebelum masuk ke dalam kenderaan rakannya dan menuju ke Balai Gual Ipoh, di sini.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) bagi menerima rawatan.

“Dua pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik membabitkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) serta balai berhampiran digerakkan bagi mengesan suspek berusia 50-an,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam – berita harian