HUTAN MELINTANG– Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mensasarkan kutipan sebanyak RM 10 juta untuk Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) menerusi program kembara bermotosikal rayuan di empat buah negeri.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, program itu diwujudkan bagi menambah dana untuk kebajikan para pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang banyak berjasa dalam menjaga keamanan serta keselamatan negara.

c1329922-d07c-4ad3-b9fa-55e5ebe254c6

“Setakat ini secara pukal kita telah kutip RM 5 juta tetapi kita akan teruskan konvoi ini supaya kutipan keseluruhannya berjumlah sekurang-kurangnya RM 10 juta, sebelum ini YAB Perdana Menteri peruntukan RM 3 juta dan saya tambah RM 2 juta untuk tabung ini.

“Saya juga menyeru orang ramai dan syarikat perniagaan serta korporat untuk turut menyumbang kepada tabung ini bagi menghargai jasa pesara polis kerana selain dari mereka menerima wang persaraan tapi mereka perlukan bantuan lain terutama yang sudah uzur, ia bagi hargai jasa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Santai Bersama Bikers PDRM bersempena Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) di Balai Polis Hutan Melintang, di sini hari ini.

TAWP adalah tabung amanah yang ditubuhkan oleh kerajaan melalui suratcara amanah pada tahun 1992 dan beroperasi selaras dengan peruntukan Seksyen 37 Akta Pemegang Amanah 1949 bagi membantu pegawai serta anggota polis yang bersara termasuk tanggungan mereka.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyertai konvoi motosikal berkuasa tinggi PDRM bagi mengumpul dana kebajikan dan mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat.

Pekan Tanjong Karang merupakan destinasi pertama konvoi yang berlepas dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur.

Program kembar bermotosikal selama tiga hari itu yang bermula di Kuala Lumpur melibatkan empat buah negeri lain iaitu Selangor, Perak, Pahang dan akan berakhir di Negeri Sembilan.