IPOH – Semua Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewakili DAP diberikan amaran untuk tidak terlibat dalam rasuah atau salah guna kuasa ketika memegang jawatan tersebut.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan Ahli Majlis PBT yang terlibat dalam salah laku.

Katanya, sekiranya terdapat individu yang melakukan perkara tersebut, khidmat mereka sebagai Ahli Majlis tidak akan disambung malah akan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat.

“Saya arahkan semua Ahli Majlis PBT yang membawa nama DAP faham dan hafal Akta Kerajaan Tempatan dan Undang-Undang Kecil PBT masing-masing supaya mereka tahu dari mana dapat punca kuasa.

“Anda adalah duta dan wakil kepada parti di peringkat paling bawah. Letak kepentingan rakyat dan parti melebihi kepentingan peribadi dalam membuat sebarang keputusan,” katanya dalam ucapan kepada Ahli Majlis PBT, hari ini.

Beliau menyampaikan ucapan itu sempena Retreat Ahli-Ahli Majlis PBT DAP Seluruh Perak, di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, tempoh penilaian prestasi bagi Ahli Majlis PBT ini diberikan sehingga Disember ini dan bukan Julai 2019.

Kor Ming berkata, cara berfikir dan tindakan perlu reformasi kerana mereka harus meletakkan mentaliti sebagai kerajaan bukan lagi pembangkang.

Katanya, tugas Ahli Majlis PBT adalah membantu kerajaan bukan menghentam kerajaan jika ada sebarang masalah yang belum dapat diselesaikan.

“Inilah masa untuk kita belajar tetapi jangan ambil masa panjang. Kita perlu rancang keutamaan apa yang perlu diselesaikan. Saya tahu ia bukan sesuatu yang mudah.

“Paling penting adalah bekerja sebagai satu pasukan kerana ia akan membawa kepada hasil yang dinginkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kor Ming berkata, elaun sebagai ahli majlis PBT sedia ada di Perak tidak realisitik dengan tugas yang perlu dilaksanakan.

Menurutnya, bagaimanapun kenaikan sebarang elaun perlu mengambil masa dan bantuan ahli majlis diperlukan untuk memastikan PBT memperoleh hasil kewangan yang kukuh – sinar