IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menuding jari ke Barisan Nasional (BN) negeri Perak dengan mendakwa mewujudkan 165,000 pengundi hantu di negeri itu kerana mahu menutup kesilapan dalam strategi politik pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan Kor Ming itu dilakukan setelah menyedari kesilapan parti DAP membawa pengundi Tionghua dari Ipoh Timur ke Johor.

Beliau berkata, pihaknya melaksanakan kajian terperinci mengenai pemindahan pengundi Tionghua secara tersusun ke empat kawasan Parlimen di Johor oleh pihak pembangkang pada Pilihanraya Umum (PRU) Ke-13.

“Terdapat 607 pengundi telah dipindahkan ke Parlimen Tebrau, 443 orang daripada Perak ke Parlimen Pulai, 311 pengundi ke Parlimen Gelang Patah manakala 189 lagi ke Pasir Gudang dan 89 orang ke Pulai.

“Ini telah mereka lakukan secara tersusun sejak sekian lama sebab Lim Kit Siang telah memberi arahan untuk menakhluk Putrajaya, mereka mesti menang di Johor.

“Pada PRU-13, Lim Kit Sang juga secara senyap-senyap meninggalkan Ipoh Timur dan pindah ke Gelang Patah di mana 3,000 pengundi dibawanya ke Gelang Patah,” katanya dalam sidang media khas di Bangunan UMNO Negeri Perak, di sini hari ini.

Jelas Saarani, kini terdapat lebih darpada 50.43 peratus yang terdiri daripada 752,591 pengundi Melayu telah didaftarkan hasil kempen pendaftaran pengundi oleh BN.

“Pengundi Cina adalah 534,309 iaitu 35.81 peratus, dan ini mengejutkan Kor Ming kerana terdapat penambahan ketara bagi bilangan orang Melayu; mengapa (jumlah pengundi) Cina berkurang?

“Sebab dia dah pindah ke Johor. Dia tengok pada Jun 2017, dia sedar dia dah tersalah strategi maka sekarang dia datang dengan satu idea baru (iaitu) menuding jari kononnya BN membawa pengundi hantu masuk ke Perak,” ujarnya.

Saarani menjelaskan, pengundi hantu merujuk kepada mereka yang tidak wujud dan orang lain yang muncul pada hari pengundian.

Katanya, beliau mahu Kor Ming membuktikan wujud pengundi seumpama itu dan jika pemimpin pembangkang itu gagal, beliau mahu Kor Ming memohon maaf secara terbuka kerana telah berbohong dan memanipulasikan angka.

“Dia sangat minat dengan angka-angka, dia percaya angka itu betul dan menipu dirinya sendiri. Jangan main celup atau main semberono dan rawak, buktikan setiap 165,000 nama itu adalah pengundi hantu dalam maksudnya yang sebenar,” katanya.

“Itu benda yang dia buat, untuk pindahkan orang daripada Perak ke Pulai, ke Gelang Patah, itulah dia buat. Biasanya, hanya pencuri boleh cakap pencuri, hanya hantu boleh tangkap hantu,”katanya.

Saraani menegaskan, sehubungan itu, Kor Ming tidak perlu mengharap BN memohon maaf sedangkan sudah menjadi sikap ADUN Kepayang itu untuk meletakkan alasan sekiranya menyedari dia akan kalah.