IPOH: Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming hari ini mendakwa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghentikan projek Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan Parlimen yang bukan di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang itu mendakwa, satu surat arahan telah dikeluarkan di mana projek melibatkan penambahbaikan serta penyelenggaraan kawasan longkang, pengurusan sampah dan lumpur di kawasan berkenaan akan dihentikan.

Beliau yang juga Pengerusi DAP Perak itu berkata, surat yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Abu Bakar Johar itu turut menyatakan bahawa waran peruntukan untuk projek PBT bagi kawasan Parlimen bukan BN turut ditarik balik.

“Ini merupakan satu salahguna kuasa amat serius, kami nak terangkan tanggungjawab penjawat awam adalah untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan bukannya berdasarkan parti politik, gaji mereka dibayar oleh rakyat.

“Surat tersebut menunjukkan bukan sahaja salahguna kuasa, ia juga menunjukkan Menterinya, Tan Sri Noh Omar memang miskin dan berfikiran kemunduran, jika surat ini ada boleh tak saya suruh semua pengundi tak payah bayar cukai, cukai pintu, dan cukai GST? katanya kepada pemberita.

Beliau membuat dakwaan itu dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan sempena hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak ke-13 pada Jumaat.

Menurutnya, setiap rakyat mempunyai hak untuk memilih parti politik masing-masing dalam demokrasi berparlimen dan surat berkenaan jelas melanggar sistem sedia ada di negara ini.

“Surat ini adalah penghinaan kepada demokrasi dan sepatutnya tidak dikeluarkan,” katanya sambil mengoyakkan surat berkenaan sebagai tanda protes.