IPOH: Pemuda Barisan Nasional (BN) Perak menasihatkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming membuat kajian terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda BN Perak, Mohamad Adli Mohd Tahiruddin berkata, kenyataan yang dikeluarkan tanpa kaji selidik, hanya akan menunjukkan tahap intelek yang rendah.

Menurut Mohamad Adli, kerajaan BN tidak berbohong berkenaan pembinaan Jambatan Manong, seperti yang didakwa Kor Ming melalui akaun Twitternya pada 30 Julai lalu.

“Kenyataan beliau secara terang adalah bertujuan untuk memfitnah kerajaan BN, seolah-olah pada hari ini kerajaan hanya menabur janji,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

Mohd Adli berkata, janji-janji yang dibuat kerajaan telahpun dilaksanakan, seperti penyediaan MRT untuk memberi kemudahan pengangkutan awam yang lebih selesa kepada rakyat.

Menurutnya, Jambatan Manong hanya diluluskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan peruntukan RM43.5 juta pada 10 Jun 2016, bukannya pada 1986 seperti yang didakwa Kor Ming.

Malah, katanya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof telah turun padang sebaik sahaja peruntukan itu diluluskan, bagi memberi penerangan kepada pemimpin setempat, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Mohd Kamil Shafie dan ADUN Chandan, Maslin Sham Razman.

Beliau menambah, usaha menjalankan projek itu juga terus dilaksanakan seperti kajian dan penilaian tanah, penyediaan reka bentuk, penelitian proses tender dan yang berkaitan dengannya, mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Pemuda BN ingin bertanya kepada YB Nga Kor Ming, di manakah projek ini gagal yang dikatakan sekadar janji kosong kerajaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohamad Adli berkata, Pemuda BN Perak meminta Ahli Parlimen Taiping itu berhenti menyemai kebencian terhadap kerajaan melalui fitnah.