PARIT: Pihak Bomba masih lagi mengerahkan unit Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mencari seorang lelaki yang dipercayai menjadi mangsa lemas pertama di Sungai Perak pada Syawal kali ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit, Penolong Penguasa Bomba Ismail Yunus berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden itu sekitar 12.33 tengahari.

Menurutnya, setakat pukul 8 malam ini status mengenai mangsa lelaki berusia
22 tahun yang dipercayai lemas di Kampung Ekor Lambat itu masih belum diketahui.

“Terdapat seorang mangsa, lelaki berusia 22 tahun dipercayai telah lemas di sungai ketika mandi bersama rakan di kawasan tersebut.

“Pihak BBP Parit buat masa ini melaksanakan operasi pencarian pada jarak 1.5 kilometer di Sungai Perak dan kedalaman sungai pada masa ini adalah 4 meter,”katanya kepada pemberita.

Menurut Ismail, operasi SAR ditangguhkan sekitar pukul 7.15 malam dan operasi pemantauan dilakukan secara berkala dilakukan setiap dua jam.

Katanya,sebanyak lima buah bot digunakan bagi kekuatan logistik dan seramai 29 orang termasuk PDRM,Bomba,Rela dan pihak perubatan terlibat dalam operasi berkenaan.