IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap agar badan-badan korporat terus memberi sumbangan untuk pembangunan sukan di negeri ini.

Menurut beliau, sumbangan mereka di samping usaha Majlis Sukan Negeri Perak menjalin kerjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi mampu melahirkan jaguh-jaguh masa depan bertaraf antarabangsa.

“Kita berharap sokongan dan dana daripada para penyumbang akan diteruskan, walaupun kita sedang melalui tempoh yang sukar akibat kesan penularan pandemik COVID-19.

“Selain untuk pembangunan atlet, dana yang diterima juga penting untuk kita terus membantu bekas-bekas atlet yang memerlukan perhatian,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian insentif kepada Pasukan Hoki dan Kriket Negeri Perak di Galasa Caldwell, di sini, hari ini.

Beliau melahirkan rasa kagum dengan disiplin para atlet dalam mengekalkan kecergasan mereka walaupun terpaksa berlatih di rumah sepanjang tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahmad Faizal turut bangga dengan kejayaan pasukan hoki dan kriket yang berjaya melakar sejarah tersendiri di dalam kejohanan yang mereka sertai.

Pasukan hoki Perak menjulang piala Kejohanan TNB Hoki Piala Tun Abdul Razak edisi ke-58 manakala pasukan kriket menjuarai Kejohanan Kriket MCA T20 & T50 Over Liga Antara Negeri Tahun 2020.

“Pasukan hoki lelaki bukan sahaja berjaya membawa pulang trofi Piala Tun Abdul Razak untuk kali ke-10, lebih manis lagi, bintang kita, Muhamad Haziq Samsul telah dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir selepas mencatat jaringan hattrick 3 gol. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat hebat,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, pasukan hoki menerima insentif sebanyak RM35,000 manakala pasukan kriket menerima RM31,000 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri atas kejayaan mengharumkan nama Perak.