KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam peringkat kajian untuk menurunkan harga had siling pelitup muka kepada kadar 70 hingga ke 80 sen sekeping.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi, bagaimanapun berkata KPDNHEP memerlukan tempoh sekurang-kurangnya sebulan lagi sebelum memutuskan berhubung harga baharu itu.

“Sekarang kita sudah turunkan harga pelitup muka pada kadar RM1 sekeping bagi tiga lapis dan hari ini anggaplah ia sebagai notis kepada peniaga untuk kita menurunkan lagi harga had siling pelitup muka.

“Anggaran penurunan itu ialah di bawah RM1 dalam lingkungan 70 ke 80 sen…mungkin dalam sebulan lagi kerana kita harus membuat kajian mendalam untuk meletakkan had siling bagi menjaga keadaan di negara kita, ” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat ke pasar raya besar Mydin sempena Kempen Beli Barangan Malaysia, di sini.

Sebelum ini, KPDNHEP menetapkan harga had siling pelitup muka pada kadar RM1 sekeping bermula 15 Ogos lalu.

Mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia 2020, Alexander berkata, program itu akan diperluaskan ke negeri-negeri lain bermula di Melaka minggu hadapan.

“Kita sudah membuat pelbagai perancangan untuk melancarkan kempen itu di semua negeri seperti di Melaka dalam tempoh seminggu lagi dan seterusnya di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan sehingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata, kementerian sentiasa memantau perniagaan dalam talian dalam usaha melindungi pengguna.

“Kita tidak terlepas pandang untuk melindungi pengguna yang membeli dalam talian. Kita tumpu perhatian bagaimana hendak melindungi mereka berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada selain pemantauan dan risikan penguatkuasaan KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata, kementerian turut menggalakkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjalankan perniagaan dalam talian berikutan kebiasaan baharu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi peluang perniagaan dalam talian melonjak naik. – BH