IPOH, 22 DIS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak akan menggunakan budi bicara dalam menjalankan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai yang baharu beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Perak, Dottie Azlina Ismail berkata, pihaknya sememangnya memahami keadaan yang dihadapi oleh orang ramai dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan tetap berjalan seperti biasa secara berkala untuk memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

“Kita memang keluar hari-hari untuk membuat pemeriksaan, semua tempat kita pergi termasuklah tempat-tempat yang dibenarkan untuk berniaga. Kita faham musim Covid-19 ramai diberhentikan kerja. Kita pun cakna dengan masalah-masalah mereka jadi kita akan beri nasihat dan amaran tidak terus kompaun.

“Jika terdapat peniaga yang masih berdegil, kita akan ambil tindakan dan hantar kepada bahagian undang-undang sama ada kes boleh dikompaun atau dibawa ke mahkamah untuk tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas Peringkat Negeri Perak di Jaya Grocer Ipoh Parade di sini pada Selasa.

Sementara itu, Dottie Azlina berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 77,345 pemeriksaan dijalankan di premis-premis seluruh Perak dan daripada itu, sejumlah 853 kes telah diambil tindakan.

Menurutnya, bagi operasi sempena SHMMP untuk tiga perayaan sebelum ini, sebanyak 38 kes dikesan iaitu gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu (21 kes), gagal pamerkan tanda harga (11 kes) dan melebihi harga maksimum (enam kes).

Katanya, bagi pelaksanaan SHMMP Hari Krimas, hanya 14 barangan yang terlibat bagi Perak berbanding 19 barangan disenaraikan oleh kementerian sepanjang 10 hari tempoh pelaksanaan bermula 22 Disember.

“Dalam tempoh berkenaan, seramai 176 penguat kuasa dan 79 pegawai pemantau harga akan berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar pagi, pasar tani dan pusat membeli belah untuk menjalankan pemeriksaan,” katanya. – SINAR HARIAN