IPOH : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas lebih 27,000 pasang kasut tiruan pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta dalam operasi di dua premis di Ipoh pada Rabu.

Serbuan bermula 11.30 pagi itu dilakukan sepasukan enam pegawai penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya di Kawasan Perindustrian Mengelembu dan Kawasan Perindustrian Chandan Raya.

Ketua Seksyen Siasatan KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan yang dijalankan selama dua minggu bersama wakil pemilik cap dagang.

Menurutnya, serbuan itu merupakan kali kedua dilakukan ke atas premis berkenaan.

“Kali pertama tidak dapat tetapi kali ini kita dapat mengesan sejumlah yang banyak dan kita mengesyaki bahawa kilang ini tempat ini digunakan untuk menghasilkan ataupun mengilang kasut-kasut tiruan.

“Banyak bukti yang kita terima seperti inbois di samping petunjuk yang boleh merungkai siasatan yang kita boleh jalankan selepas ini untuk mengenalpasti adakah aktiviti ini dilakukan seorang individu ataupun melibatkan sindiket yang membekalkan bahan mentah untuk menghasilkan kadut tiruan,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas operasi di Ipoh pada Rabu yang turut dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa Perak, V Ravichandran.

Shamsul Nizam berkata, kilang tersebut yang dipercayai telah beroperasi sejak lima tahun lalu memang mengeluarkan kasut tetapi yang tidak berjenama.

Menurutnya, berdasarkan bilangan yang banyak, pihaknya percaya kasut-kasut tiruan itu adalah untuk bekalan pasaran di negeri-negeri utara.

Katanya, seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 40-an yang mengaku menjadi pemilik kilang itu turut ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan, bagi orang perseorangan boleh didenda sehingga RM10,000 setiap unit dan sehingga RM15,000 seunit bagi perbadanan atau syarikat.