MANJUNG: Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Manjung, menjalankan siasatan terhadap sebuah restoran di Seri Manjung yang dikesan menggunakan ayat al-Quran sebagai representasi takrif halal sehingga mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam.

Ketuanya, Wan Muhammad Badro Wan Mahmod berkata, pihaknnya menerima aduan itu daripada orang awam sebelum menjalankan pemeriksaan hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati pemilik premis itu adalah warga tempatan dan sudah beroperasi selama tiga tahun.

“Pemiliknya gagal menunjukkan perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam yang melayakkan premis perniagaan ini menggunakan representasi ayat-ayat al-Quran di dalam premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, pemilik premis ditahan untuk diambil keterangan dan beberapa barangan terbabit disita untuk siasatan lanjut.

Wan Muhammad Badro berkata, kes akan disiasat mengikut Perenggan 4 Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu iaitu ‘mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat ap-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdayakan atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam adalah melakukan satu kesalahan’.

Menurutnya, KPDNHEP Manjung memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menggunakan perbahasan halal ke atas premis dan barang makanan dan perkhidmatan keluaran mereka.

“Peniaga perlu tahu akan kesalahan yang melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal atau apa-apa representasi yang menunjukkan bahawa makanan atau barang-barang yang boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam,” ujarnya.

Beliau menasihatkan pengusaha restoran atau syarikat supaya berhati-hati dalam menggunakan perbahasan halal dan perlu memastikan bahawa setiap makanan atau barang-barang keluaran mereka hanya menggunakan perakuan perihal halal dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa serta ditanda dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang.