IPOH: Prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh pelanggan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa pada 4 Mei ini, Hospital Pakar KPJ Ipoh mengambil inisiatif menyediakan penghantaran ubat terus ke rumah pelanggan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusmah Salleh berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi memudahkan pelanggan untuk menerima bekalan ubat di samping memastikan pelanggan KPJ Ipoh mematuhi PKPB yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam usaha mencegah penularan wabak COVID-19.

 

“Kami berusaha untuk memastikan agar bekalan ubat pelanggan kami tidak terjejas sepanjang PKPB terutama bagi pelanggan kami yang menghidap penyakit kronik dan berisiko tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini

 

Menurutnya, pelanggan yang ingin menerima ubat secara penghantaran terus ke rumah boleh membuat pesanan dengan membuat panggilan ke +605 240 8777.

 

Katanya, panggilan akan disambungkan ke klinik yang berkenaan untuk semakan rekod kesihatan pelanggan dan mendapatkan khidmat rundingan doktor pakar yang berkenaan sebelum pemprosesan penghantaran ubat ke rumah.

“Pelanggan akan menerima ubat dalam tempoh 48 jam selepas pembayaran dibuat secara dalam talian (online) dan tertakluk kepada jenis dan stok ubat yang dipesan oleh pelanggan,” ujarnya.

Perkhidmatan ini beroperasi pada hari Isnin dan Khamis, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dalam radius 15 kilometer dari hospital dan ahli farmasi kami akan ke rumah pelanggan dan penjarakan sosial dengan pelanggan akan sentiasa dititikberatkan.

Menurut Yusmah lagi, selain perkhidmatan penghantaran ubat terus ke rumah oleh ahli farmasi hospital sendiri, KPJ Ipoh turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ubat melalui kurier bagi jarak radius melebihi 15 kilometer selain farmasi pandu lalu.

 

Selain itu juga, pihak KPJ Ipoh juga turut mengambil langkah berjaga-jaga yang ketat bagi memastikan semua pelanggan dan pesakit yang berada di dalam premis hospital bebas daripada wabak COVID-19.

“Kesihatan semua pesakit, pelanggan, pelawat, pakar perubatan dan warga kerja adalah keutamaan kami dan kami sangat menitikberatkan langkah-langkah pencegahan dan sentiasa memastikan agar kami dapat menyediakan perkhidmatan yang selamat dan terbaik buat semua,” katanya.