SLIM RIVER: Kementerian Pendidikan sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Satelit di Daerah Muallim.

Ia selepas Daerah Muallim menjadi daerah baharu dengan bilangan sekolah yang banyak.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Jidin berkata, selain di Muallim, kementerian juga sedang meneliti keperluan mewujudkan PPD Satelit di seluruh negara.

“Ada beberapa PPD Satelit cadangannya di seluruh negara yang sedang kita teliti masih diperingkat penelitian.

“Jadi kita sedang teliti sebagaimana kita sedar jumlah sekolah di kawasan ini terlalu banyak dan juga keperluan untuk ke Batang Padang tu pun agak jauh.

“Jadi bukan sahaja di kawasan Muallim ni tetapi di kawasan lain juga, kita lihat di kawasan-kawasan lain, insya Allah,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengunjungi pasangan suami isteri bekas guru di Pekan Slim, pada Khamis.

Pada Rabu, calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz di dalam wawancara dengan media berkata, selain masalah kemudahan asas dan banjir, beliau akan berusaha agar Daerah Muallim mempunyai PPD sendiri.

Ketika ini urusan pentadbiran mengenai sekolah-sekolah di Muallim dijalankan menumpang di sebuah sekolah dari Slim River.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Radzi berkata, setakat ini Kementerian Pendidikan berpuas hati dengan pematuhan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah seluruh negara, dalam usaha untuk mencegah penularan wabak COVID-19 di kalangan pelajar.

Pematuhan SOP yang ditetapkan telah menjadi norma baharu di kalangan pelajar, termasuk penjarakan fizikal ketika di kantin-kantin sekolah.

Menurutnya, jika berlaku kes berkaitan COVID-19, kementerian akan berbincang dengan Pusat Kesihatan Daerah dan Kementerian Kesihatan untuk mengambil langkah perlu, termasuk kemungkinan menutup sekolah.

“Oleh yang demikian, saya memohon supaya ibu bapa memberi keyakinan kepada pihak kementerian.

“Sekiranya apa-apa berlaku, insya Allah kita akan lakukan yang terbaik berdasarkan perbincangan dengan pihak KKM,” ujarnya.