IPOH  – Kejayaan lima tandas awam di negara ini yang mendapat pengiktirafan sebagai tandas awam terbaik di Asia pada minggu lalu, membuktikan kualiti kebersihan tandas di negara ini sudah boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Noor-Ihsan Che Mat berkata, lima tandas awam berke­naan telah dicalonkan oleh pihaknya untuk memenangi Anugerah Standard Tandas Awam Asia 2019-2021 sempena Forum Pelancongan Asia di Vietnam, Jumaat lalu.

Beliau berkata, lima tandas tersebut ialah tandas awam Rantau Abang, tandas awam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Restoran Foh San di Perak, Masjid Cina Melaka dan Plaza Merdeka, Sarawak.

Menurut beliau, kesemua tandas berkenaan telah mengikuti Garis Panduan Pe­ngurusan Tandas dan Manual Pembersihan Tandas Awam yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2017.

“Garis panduan dan manual ini telah membantu penjagaan tandas awam termasuk dalam seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Kebersihan tandas di KLIA misalnya, yang menggambarkan imej pintu masuk negara, juga telah dapat dipertingkat menerusi pematuhan manual tersebut dan ini secara tidak langsung membantu meningkatkan nilai sosio ekonomi negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Noor-Ihsan menekankan, usaha membudayakan penjagaan serta penggunaan tandas secara beretika dalam persekitaran masyarakat sihat, tidak hanya terletak pada PBT semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak.

Beliau berkata, PBT hanya boleh menyediakan kemudahan tandas awam, namun kese­daran sivik dalam kalangan masyarakat termasuk pengguna adalah lebih penting.

Menyedari peri pentingnya penja­gaan kebersihan yang tidak boleh dikompromi, beliau berkata, sambutan Hari Tandas Sedunia 2019 peringkat kebangsaan pada tahun ini antara lain turut memfokuskan kepada didikan dan penglibatan para pelajar di peringkat awal.

“Pada tahun ini, buat pertama kalinya kita menjemput Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri untuk berkongsi pendekatan yang diambil oleh mereka sehingga mencapai tandas pelajar lima bintang.

“Harapan kita ialah para pelajar dapat mencontohi inisiatif yang diambil oleh sekolah ini dan mempraktikkannya di sekolah masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Noor-Ihsan berkata, pihak kementerian juga akan melancarkan aplikasi MyWC yang dibangunkan sendiri, bagi merekodkan pangkalan data tandas awam milik PBT di seluruh negara.

Beliau berkata, aplikasi itu akan mula boleh dimuat turun mulai esok dan ia memberi peluang kepada masyarakat untuk menilai sendiri kebersihan tandas berkenaan.

“Misalnya di kawasan Ipoh, apabila saya buka aplikasi ber­kenaan, saya boleh tahu tandas awam terdekat dalam persekitaran terdekat saya termasuk ‘rating’ serta kemudahan yang terdapat di situ,” katanya – utusan online