SAYA difahamkan bangunan bergegar mengakibatkan 10 guru wanita di tingkat bawah ketakutan,” kata Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud, Papong Sanpis, Kota Belud, hari ini.

Dalam kejadian selama lima minit bermula 12.10 tengah hari itu, angin kencang dan hujan lebat selama menyebabkan hampir seluruh bumbung sebuah blok bangunan tiga tingkat tercabut diterbangkan angin.

Bagaimanapun, tiada murid atau guru dilaporkan cedera dalam kejadian yang turut mengakibatkan kerosakan pada bilik tayangan dan pusat sumber.

Papong berkata, ketika kejadian murid dan sebahagian guru sudah pulang ke rumah selepas berakhir sesi persekolahan, manakala 10 lagi guru wanita berada di bilik guru tingkat bawah.

“Ketika kejadian, saya solat Jumaat di masjid berhampiran bersama guru lelaki lain dan sebaik dapat maklumat berhubung kejadian itu, kami segera kembali ke sekolah.

“Ini kejadian pertama seperti ini dan warga sekolah dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta agensi lain memindahkan komputer serta buku di bilik pendidikan seni di tingkat dua yang dikosongkan,” katanya kepada NSTP.

Papong berkata, sekolah itu masih dibuka seperti biasa pada minggu depan berikutan tiada kelas terjejas.

Sementara itu, Pegawai APM Unit Kota Belud, Paulina Francis berkata, kerja pembersihan dan pengalihan barang dijalankan selepas kejadian berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati bahagian siling serta bumbung tercabut pada tingkat tiga bangunan blok B manakala peralatan sekolah hanya basah sedikit sebelum dipindahkan.

“Pihak APM menerima panggilan pada 1.55 tengah hari dan seramai lapan anggota terbabit dalam operasi ini,” katanya – hmetro