SEBERANG PERAI – Gara-gara menegur sekumpulan pemuda kerana memasang muzik terlalu kuat, sebuah keluarga di sebuah flat di Taman Bagan, Butterworth di sini trauma selepas diserang kumpulan lelaki itu di rumah mereka malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, kumpulan lelaki berusia awal 20-an tersebut dikatakan datang ke rumah mangsa dalam keadaan marah sambil membawa beberapa senjata tumpul ala gangster filem Tamil.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang merupakan pengawal keselamatan berusia 56 tahun itu menganggarkan enam hingga tujuh lelaki datang ke rumahnya di tingkat dua flat.

“Ketika itu suspek mencari anak lelaki mangsa, namun dia tiada di rumah dan mangsa telah dipukul dengan besi pada kepala selepas menegur suspek untuk bercakap dengan lebih sopan dengan orang tua.

“Melihat kejadian itu, isterinya terus menarik mangsa dan mengunci pintu gril, namun suspek sempat menjolok senjata itu dari celah gril sehingga terkena kepala dan pipi mangsa yang menyebabakan luka,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Beliau berkata, suspek turut bertindak merosakkan sebuah motosikal milik anak mangsa yang diletakkan di bawah flat sehingga pecah pada beberapa bahagian.

“Polis bagaimanapun berjaya menahan sembilan lelaki berusia 19 hingga 22 tahun selain merampas barangan dipercayai sebagai senjata seperti topi keledar, kayu hoki, batang besi dan kayu panjang selepas menerima laporan.

“Siasatan mendapati suspek tidak berpuas hati selepas anak lelaki mangsa menegur mereka kerana memasang muzik terlalu kuat pada sebelah malam Jumaat lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE