KAJANG: Kumpulan pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Zong hari ini mengulangi pendirian mereka terhadap langkah kerajaan memperkenalkan unit seni khat Melayu-Arab dalam silibus Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular tahun depan dengan meminta penangguhan pelaksanaannya.

Dalam satu kenyataan bersama dengan 10 kumpulan berkepentingan Tamil dan Cina yang lain, mereka berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memberi penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.

Ong Chiow Chuen menunjukkan muka surat buku teks Bahasa Melayu Tahun 5 yang memperkenalkan seni khat dan gaya penulisan kaligrafi lain.

Jurucakap mereka, Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen, mendesak kementerian mendedahkan bahagian mana dalam silibus dan DSKP yang akan dipinda dengan memberi penjelasan lanjut tentang bagaimana khat akan diperkenalkan di sekolah rendah Tamil dan Cina.

“Ini adalah penting untuk mengikis kebimbangan dan keraguan orang ramai, malah juga memastikan pelaksanaan tersebut menepati keperluan murid-murid SJKC dan SJKT.

“Maka, kami berpendapat sebelum KPM memperjelaskan segala perkara tersebut untuk pengetahuan orang ramai, pelaksanaan ini harus ditangguhkan untuk perbincangan semula.”

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim dan wakil daripada 10 kumpulan termasuk Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Yayasan Tamil, Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri Cina dan Merdeka University Bhd.

-FMT