SEPANG: Kuota haji jemaah Malaysia untuk musim haji tahun depan kekal sebanyak 30,200 orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Namun, tambah beliau, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Arab Saudi supaya kuota haji itu ditambah berikutan jumlah penduduk Malaysia yang kini meningkat kepada 31 juta.

“Perkara itu saya maklumkan kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Mohammad Saleh Taher Benten, sewaktu Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Haji yang berlangsung di Jeddah, semalam.

“Sekiranya jumlah pertambahan penduduk Malaysia itu diambil kira, kita sepatutnya mendapat kuota 31,200 jemaah atau yang ditentukan berdasarkan 0.1 peratus jumlah penduduk sesebuah negara mengikut ketetapan diletakkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sejak 10 tahun lalu.

“Namun, kita tunggu apa reaksi daripada permintaan kita, tetapi kuota 30,200 orang masih kekal bagi Malaysia,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Mujahid berkata, kelancaran Program Pra Pelepasan Haji yang dilaksanakan di Malaysia tahun ini akan diambil kira kerajaan Arab Saudi untuk meneruskan inisiatif itu pada musim haji 2019.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi memuji dan mengiktiraf kecekapan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam mengendalikan perjalanan ibadah jemaah pada musim haji kali ini.

“TH ini antara institusi pengurusan haji terbaik di dunia, ia antara disebut dalam mesyuarat itu dan mereka agak kagum dengan pengurusan dikendalikan kita.

“Malah, mereka juga kagum dengan akhlak mulia jemaah Malaysia yang sering menjadi buah mulut jemaah haji negara lain,” katanya.

Selain itu, Mujahid sekali lagi memaklumkan, kos menunaikan haji sehingga kini masih kekal seperti mana pada sebelum ini iaitu RM9,980.

Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataannya yang dikatakan berbeza dengan bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, berkaitan isu kewangan badan itu, Mujahid berkata, paling penting adalah untuk memulihkan TH.

“Kita kekal kepada perancangan kita, paling penting sekarang lembaga ini dapat dipulihkan menerusi pelan dirancang, sekali gus dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada umat Islam,” katanya – berita harian