IPOH: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membayangkan kemungkinan kuota haji untuk veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkat sekali ganda, berbanding 400 untuk tahun lalu.

Beliau percaya kuota itu dapat ditingkatkan hasil hubungan baik antara kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun, kata beliau, kouta tambahan untuk veteran itu tidak akan menjejaskan kouta lain, termasuk untuk orang awam.

Terdahulu, di dalam pertemuan bersama veteran dan warga ATM sempena lawatan kerja ke tapak cadangan Hospital Veteran di Kem Gua Permai, Jalan Tambun di sini, beliau berkata, kuota haji adalah amat dekat dengan golongan veteran.

“Kalau kita daftar dengan Tabung Haji hari ini, kita terpaksa menunggu kira-kira 103 tahun,” kata beliau.