KURANG melakukan kesilapan antara faktor kemenangan selesa 4-0 Sabah terhadap Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating, berkata barisan pemainnya berjaya mengawal bola dengan baik sehingga membolehkan mereka menguasai hampir keseluruhan permainan.

“Mereka jarang kehilangan bola dan kita menguasai hampir keseluruhan permainan khususnya di bahagian tengah.

“Sasaran kami sebenarnya hanya kemenangan tetapi pada akhirnya kita menang dengan jaringan besar, saya bangga dengan semangat juang dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan itu, malam tadi.

Pada aksi itu, Sabah tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama apabila rembatan kaki kiri cantik Lee Gil Hoon pada minit ke-4 terus menggegarkan jaring TFC II.

Pasukan yang popular dengan jolokan Sabah Rhinos itu kemudian menambah dua lagi gol menerusi ketua pasukan, Rawilson Batuil hasil penyudah baik pada minit ke-56 dan 79.

Penyerang import dari Puerto Rico, Hector Pito Ramos kemudian melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah hasil jaringan di masa kecederaan.

Jelius berkata, walaupun mencatat kemenangan besar pada perlawanan pertama, masih ada lagi ruang yang perlu diperbaiki bagi memastikan mereka mengekalkan rentak.

“Saya juga harap kemenangan ini memberi kita lebih motivasi dan semangat bagi mengharungi perlawanan akan datang, seterusnya memberi keyakinan semula kepada penyokong setia kita.

“Sasaran kita selepas ini ialah mencatat keputusan baik di tempat lawan seterusnya mengharapkan penyokong membanjiri Stadium Likas pada aksi seterusnya,” katanya.

Sabah akan meneruskan aksi liga bertemu Felcra FC di Stadium Shah Alam, Selasa ini, sebelum melayan kunjungan PDRM FC di Stadium Likas, Jumaat depan.-metro