Para pemimpin diminta agar kurangkan bercakap dan lebihkan bekerja untuk membantu kerajaan demi kesejahteraan negara dan rakyat.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmah Faizal Azumu berkata, tindakan untuk terus berpolitik ketika ini dibimbangi tidak membantu usaha tersebut.

Menurut beliau, usaha perlu ditumpukan untuk menstabilkan kerajaan, menyelesaikan masalah rakyat, meningkatkan ekonomi dan bersama-sama melawan pandemik COVID-19.

“Saya fikir saya sependapat dengan begitu ramai pemimpin termasuk pemimpin-pemimpin dalam Muafakat Nasional yang merasakan ini bukan masanya untuk kita berpecah belah.

“Ini masanya untuk kita bersatu memastikan kestabilan kerajaan, memastikan masalah-masalah kita melawan pendamik COVID-19 ini dapat tercapai, memastikan ekonomi kita dapat dibangunkan semula. Ini adalah perkara utama dan asas bagi kita sekarang ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak mengulas mengenai solusi menang-menang antara Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional demi kesejahteraan rakyat.

Ahmad Faizal berkata, walaupun ada sebilangan kecil pemimpin yang mungkin berbeza pandangan, tetapi rakyat secara umumnya tidak mahu berlaku pecah belah di kalangan pemimpin kerajaan sekarang ni.

Secara peribadi, beliau berpendapat bahawa Umno tidak akan menarik diri daripada memberi sokongan kepada Perikatan Nasional kerana ia akan merugikan mereka dan golongan yang diwakili.

Mengenai pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau yang baharu, Ahmad Faizal mengakui beliau tidak berbincang dengan sesiapa pun berhubung pelantikan itu.

Bagaimanapun, beliau percaya dengan pelantikan itu akan lebih memudahkan Aznel memberi perkhidmatan, terutama sekali di kalangan komponen Perikatan Nasional, termasuk Umno, Pas dan Bersatu.

“Saya kira kalau ahli-ahli Bersatu dan Pas boleh menerima baik pelantikan ini, tentu sekali ianya diterima dengan lebih baik lagi oleh ahli-ahli Umno,” ujarnya.