PENDUDUK Taman Supreme, dekat Prai, di Butterworth, bimbang dengan masalah serangan ‘kutu beras’ yang sudah berlarutan lebih 30 tahun lalu.

Masalah itu didakwa berpunca daripada sebuah kilang pemprosesan beras yang terletak berdekatan dengan kediaman penduduk sekali gus memberi ancaman apabila serangga itu berterbangan memasuki rumah mereka.

Tukang jahit, Amarjit Kaur, 54, berkata, dia berdepan dengan masalah serangga terbabit sejak menetap di kawasan itu 34 tahun lalu, namun tiada jalan penyelesaian terbaik diambil sehingga hari ini.

Katanya, penduduk kerap mengajukan aduan berhubung masalah itu kepada pelbagai pihak termasuk pengurusan kilang beras berkenaan tetapi masih tidak ada langkah proaktif menanganinya.

“Masalah kutu beras ini nampak saja kecil tetapi ia membahayakan kanak-kanak khususnya bayi kerana takut serangga terbabit masuk ke dalam telinga, apatah lagi ia aktif pada waktu malam.

“Saya bimbang kerana sekarang sedang menjaga cucu yang baharu saja berusia 15 hari dan pada masa sama risau dengan kain yang dihantar pelanggan kerana serangga itu masuk di celah kain dengan jumlah sangat banyak,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dia berkata, ribuan kutu beras itu didapati masuk ke dalam rumahnya pada waktu pagi dan bersembunyi di celah perabot, meja makan, pinggan mangkuk dan pelbagai sudut rumah hingga situasi itu mendatangkan ketidakselesaan dia sekeluarga.

“Dalam situasi ini, semua makanan yang dimasak perlu sentiasa ditutup kerana ada sebelum ini habis semua lauk pauk dimasuki serangga berkenaan.

“Bayangkan setiap pagi apabila saya menyapu lantai, ratusan bahkan ribuan serangga itu ditemui dan ia amat membimbangkan,” katanya.

Penduduk, M Devandran, 38, berkata, masalah serangan serangga itu mula pulih sekitar lima ke enam tahun lalu selepas pihak kilang mengambil langkah memasang jaring perangkap.

“Namun, ia tiba-tiba berlaku semula apabila jaring yang dipasang itu hilang dan kemudian mereka melakukan semburan kabus (fogging) sebagai alternatif lain tetapi serangga ini tetap ada.

“Hal ini begitu merimaskan penduduk apatah lagi saya pernah mengalami rasa gatal kerana serangga ini selalu masuk dan berada di celah-celah pakaian,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), David Marshell, berkata pihaknya memandang serius aduan penduduk.

“Kita sedang menunggu laporan Jabatan Kesihatan dan MPSP yang sudah melakukan pemeriksaan sama ada mengenakan kompaun kepada pihak kilang yang mencetuskan masalah itu.

“Pada masa sama, kita berharap pihak kilang bertanggungjawab menyelesaikan perkara ini dengan lebih baik selain menggunakan kaedah fogging kerana tiada sebarang kesan positif dialami penduduk setakat ini,” katanya – hmetro