KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan berdepan kekurangan dana yang sangat besar sekiranya cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 dilaksanakan.

Menurut Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan, Perkeso, Prof Madya Dr Yusof Saari, ia sekali gus boleh menjejaskan ekonomi negara pada masa depan.

Kalau kita benarkan dikeluarkan dalam RM10,000 kepada setiap pencarum, kita akan dapati kekurangan dana yang sangat besar di KWSP.

“Ini akan memberi kesan kepada ekonomi itu sendiri, pelaburan dan ekonomi mikro secara keseluruhan.

“Jadi kita perlu berhati-hati dalam melaksanakan pakej atau cadangan ini, kerana ia boleh merisiko keadaan ekonomi pada masa depan,” katanya kepada Astro AWANI dalam temu bual menerusi Skype, pada Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara tersebut dipertimbangkan sekiranya ia dilakukan secara bersasar dan pengeluaran dilakukan secara bulanan.

Pada Jumaat, perdana menteri berkata sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP untuk digunakan rakyat yang berdepan pandemik COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyedari ada cadangan yang dibuat bagi pengeluaran wang Akaun 1 KWSP.

Mengulas lanjut, Yusof berkata satu penyelesaian holistik perlu dilakukan segera dalam mengurangkan beban mereka yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan.

Tambahnya, kerajaan, majikan dan agensi berkaitan perlu mempergiatkan usaha membantu mereka yang kehilangan sumber pendapatan untuk kembali mendapatkan pekerjaan.

Ini penting untuk mendidik masyarakat agar tidak berharap kepada pengeluaran KWSP semata-mata setiap kali berdepan krisis, katanya lagi.

“Sangat penting untuk agensi kerajaan bekerja keras sedikit untuk turun ke bawah bagi membantu pekerja-pekerja.

“Sebab begini, dalam data PERKESO, sebagai contoh kita dapati ramai bilangan pencari pekerja dan dalam masa yang sama banyak juga pekerjaan diminta ataupun pekerjaan yang kosong yang diiklankan di portal MyFutureJobs atau portal pekerjaan di Malaysia.

“Kita lihat banyak lagi kekosongan yang tidak dipilih atau diambil mereka di luar sana,” katanya.

Pada Isnin lalu, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta kerajaan mempertimbangkan lagi cadangan pengeluaran wang daripada Akaun 1 KWSP.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan boleh membenarkan pengeluaran duit dengan menghadkan secara one-off sehingga RM10,000 daripada akaun tersebut.