Oleh: Aida Aziz

“AIR minuman di dalam Labu Lepap yang biarkan selama tiga puluh minit, sejuknya bagai air yang disejukkan dengan ais; rasanya enak, nyaman dan tidak mengilukan gigi apabila diteguk.”

Itu gambaran yang diberikan oleh Mohd. Pareb Zamari, 42, seorang pengusaha kraf dan Labu Sayong di Kampung Kuala Bendang, Kuala Kangsar, apabila ditanya mengenai keunikan Labu Lepap.

Katanya, keenakan dan kesejukan air yang disimpan di dalam Labu Lepap menjadikan ia pilihan ramai pelanggannya untuk dijadikan bekas mengisi air minuman.

Walaupun namanya kedengaran agak lucu, Mohd. Pareb berkata, labu seramik yang dipanggil Lepap itu ada kisahnya yang tersendiri, selain sinonim dengan loghat masyarakat di beberapa daerah di negeri Perak.

“Menurut cerita-cerita orang lama, ratusan tahun dahulu penghasilan Labu Sayong dimonopoli oleh golongan wanita. Mereka biasanya membuat labu ini sambil duduk bersila yang kalau mengikut loghat negeri Perak dipanggil duduk melepap,” katanya.

Ada juga versi lain yang mengatakan asal nama Labu Lepap tersebut adalah disebabkan bentuk di bahagian bawahnya yang besar dan leper.

Mohd. Pareb berkata, Labu Lepap ialah sejenis Labu Sayong iaitu bekas yang diperbuat daripada tanah liat untuk digunakan bagi menyimpan air minuman dan ia popular di kalangan masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.

“Ramai yang tahu apa itu Labu Sayong tetapi hanya segelintir yang tahu jenis-jenisnya; malah tidak semua Labu Sayong sesuai untuk dijadikan bekas simpanan air minuman,” ujarnya.

Beliau yang merupakan generasi kelima mengusahakan perniagaan keluarganya itu berkata, dia jatuh cinta dengan Labu Sayong sehingga membawanya jauh ke Negara Matahari Terbit untuk menimba ilmu.

Beliau terbang ke Arita, Jepun untuk mendalami bidang pembuatan seramik di Saga Ceramics Research Laoratory pada tahun 2004.

Rahsia Labu Lepap 

Tidak dinafikan tanah liat yang menjadi bahan asas untuk menghasilkan labu sayong merupakan faktor utama bagaimana air yang diisi di dalamnya boleh menjadi sejuk tanpa mengira cuaca.

Tahukah anda bahawa tanah liat di Kampung Kepala Bendang adalah antara yang terbaik untuk penghasilan Labu Sayong? Ianya boleh terus digunakan untuk membuat Labu Sayong tanpa perlu menambah sebarang bahan lain.

Bahkan, kata Mohd. Pareb, ramai pensyarah dan pengkaji dari dalam dan luar negara turut berminat untuk mengkaji manfaat kesihatan dan khasiat yang terkandung di dalam bahan asli Labu Sayong buatan Kuala Kangsar.

“Khasiat semulajadi pada tanah liat sememangnya wujud kerana terdapat akar-akar pokok yang bercampur di dalamnya. Menurut petua orang dulu-dulu air yang disimpan di dalam Labu Sayong boleh menjadi penawar batuk dan demam.

“Rahsia air yang disimpan menjadi sesejuk ais adalah disebabkan oleh liang-liang udara poros yang terhasil apabila tanah liat dibakar pada suhu tertentu. 

“Liang-liang udara ini memerangkap air dan apabila air minuman diisi di dalam bekas yang sedemikian, maka air yang disimpan itu menjadi sesejuk ais,” katanya.

Mohd. Pareb berkata, bagi menjaga kualiti air dan labu berkenaan, beliau mengesyorkan pengguna untuk menyimpan air putih sahaja di dalam labu kerana air seperti teh atau kopi akan meninggalkan bau yang kurang enak.

Unik di Kampung Kepala Bendang

Meskipun industri seramik masih kukuh bertapak di Perak, Mohd. Pareb menzahirkan rasa terkilan kerana tiada pengusaha labu seramik yang berminat menghasilkan Labu Sayong jenis lepap dan panai (jalur).

Malah menurutnya, dia adalah satu-satunya pengusaha yang masih mengeluarkan Labu Sayong jenis lepap di Malaysia.

Katanya, beliau bertuah kerana hampir 90 peratus penduduk Kampung Kuala Bendang mahir membuat Labu Sayong dan mereka sentiasa memberi sokongan kepadanya untuk memperkasakan perusahaan labu tersebut.

“Di Pahang ada Pasu Terenang, Kelantan pula Pasu Mambong, manakala Sarawak dengan Pasu Ibannya dan Johor dengan pasu Ayer Itamnya. Bila disebut Labu Sayong, memang hanya ada di sini, bukan sahaja di Malaysia bahkan di dunia,” ujarnya.

Mohd. Pareb berkata, kebanyakan Labu Sayong komersial yang ada di pasaran sekarang lebih mudah penghasilannya, berbeza dengan proses pengeluaran Labu Lepap, Labu Tela atau Labu Panai yang rumit dan mengambil masa untuk disiapkan.

“Mungkin ramai pengusaha yang tidak akan jadikannnya sebagai produk mereka, namun bagi saya, identiti asli Labu Sayong seperti yang dihasilkan orang dulu-dulu perlu kita perkenalkan kepada generasi sekarang.

“Ia bolehmerangkumi fungsi Labu Sayong itu sendiri dan rekaan serta motif yang ada pada Labu Sayong agar warisannya tidak hilang ditelan arus kemodenan,” katanya.