KUALA KANGSAR – Sekali lagi kes kebakaran berlaku melibatkan Sekolah Menengah Agama di Perak apabila terbaharu sebuah asrama perempuan dua tingkat SMA Madrasah Idrisiah, di sini musnah 20 peratus dalam kebakaran kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Kebakaran tersebut berlaku di tingkat atas bangunan asrama kayu itu dan melibatkan siling serta perkakasan dalamannya. Tiada mangsa terlibat.

Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Abd Aziz Mat Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 10.52 pagi bergegas ke lokasi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, pihak bomba mendapati sebuah asrama perempuan kelas B sedang terbakar di tingkat satu.

“Kebakaran melibatkan perkakas di dalam asrama perempuan berkenaan membabitkan barangan seperti katil, almari serta siling di tingkat satu dan tidak melibatkan mangsa,” katanya apabila dihubungi Suara Perak hari ini.

Katanya, sepasukan anggota daripada BBP Sungai Siput turut diarahkan ke lokasi kejadian bagi membantu BBP Kuala Kangsar.

“Operasi pemadaman dan pemantauan masih dijalankan anggota di lokasi kejadian.

“Siasatan susulan berkenaan punca kebakaran akan dilakukan sebaik sahaja operasi pemadaman serta pemantauan selesai,” katanya.

Enam hari lalu, SMA Maahad Al Islah Sungai Lampam, Teluk Intan juga mengalami nasib sama apabila tingkat dua bangunan asrama perempuan sekolah agama itu terbakar dalam insiden yang berlaku pada 2.30 petang 9 Ogos lalu. Kesemua pelajar sekolah itu selamat.