BATU GAJAH: Seorang warga emas maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Batu Gajah- Tg Tualang berhampiran simpang pekan Chenderong pada petang Selasa.

Dalam kejadian sekitar 6.15 petang itu, Chong Kum Fook, 67, yang berasal dari Kampar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, kemalangan tersebut turut menyebabkan sepasang suami isteri mengalami kecederaan parah.

“Siasatan mendapati sebuah kenderaan jenis Toyota Vios dipandu oleh suami dari arah Batu Gajah ke Tanjung Tualang dan diekori oleh sebuah Perodua Viva dipandu oleh isterinya.

kemalangan batu gajah 3

“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Land Cruiser dipandu mangsa yang datang dari arah bertentangan disyaki terbabas lalu memasuki laluan suami isteri tersebut.

“Disebabkan terlalu hampir, pemandu Vios gagal mengelak dan berlanggar di bahagian hadapan sebelah kiri kenderaan mangsa, sementara isterinya yang mengekori melanggar bahagian belakang Vios itu,” katanya kepada Suara Perak.

 

kemalangan batu gajah 4Menurutnya, berikutan kemalangan tersebut pemandu Land Cruiser maut di tempat kejadian manakala pasangan suami isteri yang cedera parah telah dihantar ke Hospital Batu Gajah bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa pula dihantar ke Unit Forensik Hospital Batu Gajah bagi bedah siasat pada pagi Rabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Nasri berkata kesemua kenderaan tersebut telah dihantar ke Puspakom bagi tujuan pemeriksaan lanjut.