PETALING JAYA: Media sosial hari ini dikejutkan dengan kes terbaru melibatkan rakyat Malaysia yang sekali lagi ‘buat hal’ di Jepun.

Jika sebelum ini tiga remaja mencemarkan nama baik negara apabila mengasari seorang pekerja dan merosakkan kemudahan di rumah tumpangan yang diduduki mereka di Osaka, kali ini ruang solat untuk kegunaan pelancong pelbagai agama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai pula menjadi ‘mangsa’ terbaru kepada sikap tidak prihatin rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara matahari terbit itu.

Berdasarkan posting dan gambar yang dimuat naik oleh pengguna Facebook, Tok Sheikh, kejadian yang berlaku pada Jumaat itu menunjukkan dua wanita dipercayai rakyat Malaysia sedang tidur di dalam ruang berkenaan.

Posting itu turut menunjukkan beberapa helai pakaian basah disidai di tiga buah kerusi dan besi penyangkut yang disediakan di ruang bersaiz kecil tersebut, malah beberapa bagasi dilihat turut diletakkan di ruang sama.

Papan tanda mengenai larangan kelakuan yang boleh menggangu pengguna lain sudah terang-terangan terpampang dan tindakan mereka itu jelas bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.