GEORGE TOWN: Polis sekali lagi berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran pelbagai jenis dadah selepas menahan 10 lelaki termasuk dalang utama dalam beberapa serbuan berasingan di sini dan Perak selama dua hari mulai Ahad lalu.

Suspek lelaki tempatan berusia 20 hingga 49 tahun itu diberkas dalam operasi khas yang dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri dan Perak bermula pukul 5 petang.

Ketua Polis Negeri, Datuk Sahabudin Abd. Raman berkata, tangkapan dijalankan selepas penahanan dua lelaki di lokasi pertama di sebuah kondominium di Batu Uban.

Menurutnya, susulan penangkapan suspek berusia 33 dan 40 itu membawa kepada pembongkaran sebuah makmal mini memproses dadah heroin.

“Hasil soal siasat ke atas salah seorang suspek terbabit membawa kepada tangkapan sembilan lagi ahli sindiket termasuk dalang berusia 38 tahun di lokasi berasingan di Air Itam, Simpang Ampat dan Bukit Gantang serta di sebuah rumah di Ipoh, Perak.

“Dalam serbuan tersebut, kita turut menemukan sejumlah dadah jenis heroin, pil esktasi dan syabu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM177,210,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Tambah beliau, turut disita adalah tujuh buah kenderaan, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM409,330 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM586,540.

“Hasil ujian air kencing mendapati dua suspek  lelaki positif dadah jenis Opiat dan hanya seorang daripada mereka tiada sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya. UTUSAN ONLINE