IPOH– Hampir 20 tahun lagu ciptaannya, ‘Standing In The Eyes Of The World’ menjadi siulan ramai, komposer terkenal, Datuk Wah Idris sekali lagi diberi kepercayaan untuk mencipta dan menggubah lagu rasmi Sukan Malaysia XIX (SUKMA) yang berlangsung di Perak.

Lagu bertajuk ‘Wow! Kita The Greatest’ ini akan dinyanyikan oleh beliau dan dua lagi penyanyi iaitu yang merupakan anak jati Perak iaitu Ikhwan Hafiz Ismail atau dikenali dengan Ewal Akademia Fantasia (AF) dan rapper, Shazzwan, pada malam pembukaan rasmi SUKMA XIX di Stadium Ipoh.

“Keunikan dalam lagu ini tentunya pada ritma lagu dan melodi, tajuknya juga menarik iaitu ‘Wow! Kita The Greatest’, ketika saya memberitahu kerajaan negeri Perak, mereka suka dengan idea tersebut.

“Reyza Hamizan turut bekerjasama dalam penghasilan lagu dan lirik, saya dan dua lagi anak jati Perak iaitu Ewal dan Shazzwan akan bergabung menyanyikan lagu ini nanti.

“Kita mesti pastikan lagu ini bersifat komersil, sama seperti yang saya hasilkan dahulu ketika Sukan Komenwel 1998, ‘Standing In The Eyes Of The World’ yang dinyanyikan oleh Ella, seharusnya lagu sebegini perlu ada tarikan untuk disiarkan di radio-radio,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Hotel Impiana, di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Wah turut menyifatkan lagu rasmi SUKMA ini sebagai hadiah darinya untuk negeri Perak selain menyuntik semangat buat atlet yang mengambil bahagian dalam pertandingan.

“Bagi saya ia merupakan cabaran untuk menghasilkan lagu SUKMA sama seperti Sukan Komenwel, lagu itu akan memberi impak kepada setiap atlet.

“Proses penghasilan lagu ini bermula sejak tahun lepas, apabila kita cipta lagu untuk rakyat, ia satu cabaran buat saya kerana mesti pastikan segalanya tepat, lagu ini siap sepenuhnya pada Julai lepas.

“Lagu ini untuk Gen Y, semestinya kena ringkas dan menarik. Sentuhannya juga berunsur medium rock,”katanya.

Wah turut mengharapkan lagu rasmi SUKMA ini mendapat tempat di hati pendengar, setanding dengan lagu ciptaannya di Sukan Komenwel 1998.

“Jika lagu ‘Standing In The Eyes Of The World’ boleh membawa ratu rock tanahair, Ella jauh ke satu lagi tahap dalam industri muzik, diharapkan lagu ini pun sama,”katanya.

Selain mencipta lagu di Sukan Komenwel dan SUKMA, Wah juga mencipta lagu rasmi Sukan Paralimpik pada tahun 2013 dan ‘Malaysia Truly Asia’ untuk Kementerian Pelancongan.