IPOH – Seorang warga emas meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas parah dalam kejadian langgar lari semasa mengayuh basikal di Jalan Kledang di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, wanita berusia 62 tahun yang berasal dari Menglembu menunggang sendirian di lokasi berkenaan sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) namun, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 4.01 pagi, semalam.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang basikal untuk pulang ke rumahnya dipercayai dilanggar oleh sebuah kenderaan dengan nombor pendaftaran dan jenis yang tidak pasti.

“Akibat kemalangan itu, mangsa cedera dan dikejarkan ke HRPB untuk mendapatkan rawatan.

“Namun, kira-kira jam 4.15 pagi, polis menerima makluman kematian mangsa di wad kira-kira jam 4.01 pagi,” katanya.

Menurutnya, laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan oleh kecederaan parah di kepala dan mayat mangsa diserahkan kepada waris untuk urusan pengebumian.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau mempunyai maklumat diminta menghubungi polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan,” katanya.

-Sinarharian