IPOH: Kerajaan negeri Perak akan mengambil langkah untuk memastikan penduduk Pulau Pangkor tidak menjadi ‘lebai malang’ apabila ia diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai (PBC) mulai 1 Januari 2020.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bermata, pada masa ini, kerajaan negeri sedang giat menyelaras gerak kerja berkaitan PBC Pangkor menerusi perancangan jangka masa pendek, sederhana dan jangka masa panjang.

Menurut beliau, usaha-usaha akan terus dilipatgandakan melalui penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai jabatan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

Katanya, jawatankuasa-jawatankuasa kerja itu akan memberi tumpuan khusus kepada perkara-perkara yang perlu diberi perhatian segera seperti isu penyelarasan, keselamatan dan projek-projek infrastruktur yang perlu diberi keutamaan bagi merealisasikan sasaran pengoperasian PBC Pangkor mulai 1 Januari 2020

“Dalam masa sama kita juga perlu pastikan atau pun mendidik penduduk tempatan yang mempunyai atau memiliki tanah di sana supaya tidak menjual tanah-tanah mereka.

“Sebaliknya bekerjasama dgn kerajaan atau swasta untuk memajukan kawasan tersbeut supaya dapat dimajukan sebagai pusat pelancongan utama di negeri kita,” katanya ketika menjawab soalan di persidangan Dewan Undangan Negeri pada Isnin.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika merasmikan persidangan pada Selasa lalu bertitah, usaha untuk membantu penduduk tempatan hendaklah dijadikan salah satu agenda pembangunan Pulau Pangkor, demi memastikan penduduk di pulau tersebut, tidak bernasib lebai malang.

“Usaha-usaha untuk membantu penduduk tempatan agar mendapat limpahan manfaat, hendaklah dijadikan salah satu agenda pembangunan Pulau Pangkor, demi memastikan penduduk di Pulau tersebut, tidak bernasib Lebai Malang, menang sorak – kampung tergadai, tertinggal sebagai penonton yang pasif, berputih mata, melihat dagang lalu ditanak – sedangkan anak diriba mati tak makan,” titah baginda.