IPOH: Kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah kesedaran tentang isu jenayah seksual ke atas kanak-kanak menerusi kerjasama dengan pelbagai pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, terdapat 148 kertas siasatan dibuka untuk kes seksual kanak-kanak dari Januari sehingga Oktober 2017.

“Ia termasuk rogol, sumbang mahram, liwat, penderaan dan cabul malah daripada jumlah berkenaaan, 46 kes telah dibawa ke mahkamamah dan 5 kes daripadanya disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ujar Rusnah, seramai 3,750 murid telah mendengar taklimat menerusi progrm Sahabat Bijak dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis pada tahun 2016 dan 2017.

“PDRM telah meletakkan anggota Pegawai Perhubungan Sekolah sebagai tempat rujukan jika ada masalah di sekolah serta ceramah keselamatan diri, selain khidmat kaunseling kepada pelajar di bawah Unit Seksual dan Penderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Rusnah berkata, hampir 80 peratus kes jenayah seksual berlaku dengan pelaku adalah dalam kalangan mereka yang dikenali atau ada pertalian persaudaraan.

“Sebaik mana pun perancangan malah dasar yang diperkenalkan jika tiada kesedaran di dalam keluarga itu sendiri, perkara ini tidak akan berjaya

“Lebih merumitkan bila kes ini di bawa ke muka pengadilan dan hanya sebahagian dapat dibuat pendakwaan ekoran kurangnya bukti, kerana saksi enggan bekerjasama dalam penyiasatan,” ujarnya.