IPOH: Kerajaan negeri Perak akur dengan keputusan kerajaan Persekutuan yang melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu lagi, sehingga 9 Jun.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan Persekutuan sudah pasti meneliti sedalam-dalamnya semua perkara yang dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat keputusan itu.

“Kita akur dengan keputusan ini kerana ia membuktikan bahawa keselamatan dan kesihatan rakyat adalah perkara asas yang amat diberikan perhatian serius oleh kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mengajak semua pihak, khususnya umat Islam melihat hikmah di sebalik larangan untuk pulang ke kampung menyambut Hari Raya tahun ini.

“Anggaplah ia sebagai pengorbanan kita bagi terus mengekang penularan pandemik COVID-19 ini.

“Malahan, ia juga mampu mengelakkan risiko jangkitan wabak ini kepada ibu bapa di kampung halaman,” ujarnya.

Ahmad Faizal berkata, statistik semasa menunjukkan kita mampu mengawal penularan wabak itu sehingga membolehkan kerajaan memutuskan untuk membuka semula kegiatan ekonomi.

Menurutnya, kelonggaran yang diberikan perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab melalui amalan normal baharu seperti menjaga penjarakan sosial, mencuci tangan dan menjaga kebersihan diri.

“Jangan jadikan kelonggaran yang diberi sebagai pencetus kepada wujudnya kluster-kluster jangkitan baharu,” katanya.