IPOH: Lembaga Air Perak (LAP) mencatat anggaran keuntungan sebelum cukai sebanyak RM90.81 juta bagi tahun 2016, berbanding dengan RM110.30 juta pada tahun 2015.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, anggaran keuntungan bersih tahun 2016 telah berkurang sebanyak RM19.49 juta iaitu 17 peratus.

Menurut beliau, pengurangan itu adalah disebabkan tiada pemindahan pinjaman dibuat kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) pada tahun 2016.

“Bagi tahun 2015 LAP memperolehi keuntungan sebanyak RM18.75 juta melalui hasil pemindahan pinjaman kepada PAAB,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat LAP di sini pada Isnin.

Dr Zambry menjelaskan bahawa baki pinjaman sebanyak RM260 juta sedang dipindahkan secara berperingkat yang akhir pinjaman itu sudah tidak ada lagi.

“Mungkin ada negeri tertentu (pinjaman) tidak sebesar negeri Perak, jadi ia tidak mempunyai masalah untuk memindahkan pinjaman iaitu dalam tempoh hanya dua tiga tahun.

“Tetapi dalam konteks negeri Perak yang merupakan negeri yang besar, jadi ia mengambil masa untuk kita pindahkan secara berperingkat…tetapi ianya dilakukan berdasarkan kepada proses pemindahan yang berterusan,” tambah beliau.

Menurutnya, LAP telah mencatat jualan air sebanyak RM336.98 juta sehingga 31 Disember 2016, berbanding RM320.72 juta bagi tempoh yang sama sehingga 31 Disember 2015.

Katanya, ia menunjukkan peningkatan sebanyak RM16.26 juta atau 5.1 peratus, berbanding peningkatan 3.5 peratus bagi tempoh yang sama sehingga 31 Disember 2015.

Beliau berkata, peningkatan jualan air itu disebabkan peningkatan penggunaan air sebanyak 4.7 peratus bagi tahun 2016, berbanding peningkatan sebanyak 2.3 peratus bagi tahun 2015.