PARIT: Lapan termasuk dua orang kanak-kanak berusia empat dan dua tahun cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kampung Changkat Parah, di sini pada malam Ahad.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Parit,Pegawai Bomba Kanan II Salleh Mamat berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu sekitar 10.25 malam dan segera ke lokasi.


Jelasnya, insiden melibatkan dua kenderaan tersebut mengakibatkan empat orang remaja lelaki dan satu keluarga yang mempunyai dua orang kanak-kanak berusia dua dan empat tahun mengalami kecederaan.

“Ketika sampai di lokasi, kami mendapati dua buah kenderaan bertembung dan mengakibatkan pemandu kenderaan jenis Proton Saga tersepit.

“Tiga lagi penumpang, seorang wanita, kanak-kanak lelaki,4, dan kanak-kanak perempuan,2, turut mengalami kecederaan dan begitu juga dengan kesemua yang berada di dalam Proton Waja,”katanya kepada pemberita.

Jelasnya , anggota BBP Parit telah bertindak mengeluarkan mangsa tersepit sebelum menghantar kesemua mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Operasi tamat sekitar 11.30 malam kemudian,”ujarnya lagi.