IPOH: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak meminta Kementerian Kesihatan meneliti semula cadangan larangan merokok di restoran terbuka dan premis makanan, termasuk gerai-gerai.

Jika dilaksanakan sepenuhnya larangan itu, ia dibimbangi akan turut menjejaskan pendapatan penjaja dan peniaga kecil.

Yang Dipertua PPPKM Perak, Asmadi Teh berkata, walaupun merokok memang membahayakan kesihatan tetapi perokok juga adalah sebahagian daripada pelanggan mereka.

Oleh itu, beliau meminta kerajaan memberi pilihan supaya hampir 15,000 ahli persatuan di perak boleh terus berniaga seperti biasa, tanpa bimbang kehilangan pelanggan.

“Kita cadangkanlah, kalau di kawasan-kawasan tersebut dikhaskan satu tempat yang dibenarkan untuk mereka merokok. Kita lihat memanglah pelanggan terdiri daripada berbagai-bagai lapisan masyarakat, jadi perkara ini perlu diperhalusi dan diberi kawasan yang sesuai untuk mereka merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Mesyuarat agung tahunan ke 17 Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak yang disempurnakan Presiden Gabungan PPPKM Malaysia, Datuk Ramli Norani di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini berkuatkuasa 1 Januari 2019.

Bagaimanapun, cadangan itu dikatakan mendapat bantahan daripada pengusaha restoran yang mendakwa ia akan menjejaskan perniagaan mereka.

Asmadi berkata, penjaja dan peniaga kecil masih memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan untuk meneruskan perniagaan mereka, yang menjadi sumber utama pendapatan keluarga.

Sehubugan itu, beliau berharap agar kerajaan dapat meneruskan beberapa program yang membantu golongan penjaja dan penjaja kecil seperti dana pinjaman dan Skim Pembiayaan Mikro-i Bazar Ramadan.

Beliau menambah, walaupun di dalam keadaan kegawatan ekonomi sekarang, melalui pembentangan bajet 2019 tidak lama lagi, diharap kerajaan akan teruskan usaha untuk memartabatkan penjaja dan peniaga kecil.