Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Pembangunan Parlimen Bagan Datuk akan menyaksikan sebuah lapangan terbang mini bakal dibina di Ladang Jendarata di Hutan Melintang dekat sini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perancangan untuk membina sebuah lapangan terbang mini itu dilihat ada keperluan berikutan geografi Hutan Melintang dan permintaan syarikat-syarikat pelabur yang beroperasi di kawasan itu.

Katanya, buat masa ini cadangan bagi pembinaan lapangan terbang itu mendapat maklum balas positif berdasarkan hasil perbincangan dengan sebuah syarikat pelaburan Kanada.

Ahmad Zahid yang juga calon Parlimen Bagan Datuk itu berkata syarikat tersebut malah turut mencadangkan pembukaan sebuah syarikat gudang selenggara dan baik pulih pesawat (MRO) berskala kecil di lokasi itu.

Menurut Ahmad Zahid, perbincangan antara beliau dan pihak pelabur sudah dibuat tiga bulan lepas dan pihak berkenaan juga menunjukkan minat untuk mengendalikan gudang itu.

“Mereka sudah membentangkan kertas kerja, dan berdasarkan pemerhatian teliti, mereka mendapati Bagan Datuk kawasan yang landai dan tidak dikelilingi gunung-ganang atau bukit-bukau, malah hasil tinjauan mereka juga mendapati kawasan di sini sesuai.

“Oleh itu, mereka meminta supaya kawasan itu dibina landasan yang mesti sesuai untuk jet atau kapal terbang perdagangan pada jarak yang bersesuaian,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Program Kenduri Pusat Daerah Mengundi (PDM) Zon Jambatan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang, Hutan Melintang di sini,hari ini.

Ahmad Zahid berkata, jika perbincangan itu berjaya, beliau akan memohon Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Berhad (UP Berhad) Datuk Carl Bek-Nielsen untuk membantu membesar dan meluaskan lagi lapangan terbang mini sedia ada milik syarikat perladangan itu Jendarata.

“Saya tidak begitu pasti mengenai nilai sebenar pelaburan langsung asing (FDI) yang akan dibawa dan ianya masih belum dikenalpasti, tetapi saya jangka nilainya akan tinggi sekiranya mereka (pelabur asing) bersetuju membuat pelaburan itu.

“Mereka (pelabur) juga sudah mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pekerja mahir dalam bidang penerbangan dan saya akan berbincang dengan pengurusan Politeknik Bagan Datuk bagi mewujudkan Fakulti Kejuruteraan Penerbangan.

“Ketika ini, politeknik ini mempunyai dua fakulti iaitu Kejuruteraan Marin dan Kejuruteraan Automotif.

“Kita mahu tenaga mahir ini dapat digali potensinya dari anak-anak Bagan Datuk dan pelajar luar kawasan Bagan Datuk,” ujarnya lagi.

Ahmad Zahid berkata, pelabur berkenaan juga akan membuat kajian mendalam terhadap tanah dan kawasan Bagan Datuk terlebih dahulu.

Buat masa ini, Ahmad Zahid berkata tanah di sekitar lokasi cadangan itu agak lembut maka rawatan tanah yang bersesuaian diperlukan sebelum meneruskan projek itu.