KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu semua pihak dan kerajaan negeri yang baharu dibentuk ini melaksanakan tugas dengan baik.

Tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, sudah sampai masanya untuk menyelesaikan masalah rakyat dan tidak lagi hanya berpolitik.

“Kita yakin selesai sahaja esok Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah kita akan memulakan langkah untuk memastikan masalah rakyat di bawah mendapat perhatian.

“Semua pihak diingatkan tidak lagi berpolitik dan kita memikirkan cara untuk (menyelesaikan) masalah negeri Sabah,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Bung Moktar berkata, adalah menjadi tanggungjawab untuk kerajaan negeri yang baharu ini melaksanakan tanggungjawab dan mandat rakyat dengan baik.

“Kami telah membuat persetujuan atas dasar kesedaran dan keyakinan bahawa kerajaan baharu ini mampu untuk memulihkan semangat rakyat yang selama ini telah hilang disebabkan pemerintahan kerajaan terdahulu yang tidak prihatin,” katanya.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini sebulat suara menamakan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Hajiji yang juga Ahli Dewan undangan negeri (ADUN) Sulaman mengesahkan beliau akan mengangkat sumpah sebagai esok pada pukul 10.30 pagi.

Tegas Hajiji, kerajaan negeri baharu itu akan memastikan permasalahan rakyat dan manifesto serta Aku Janji pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan ditunaikan sebaiknya.