IPOH: Kerajaan negeri tidak akan bertoleransi terhadap mana-mana individu dan pihak yang bertindak menyelewengkan duit atau memalsukan dokumen bagi kepentingan sendiri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang tindakan yang boleh memburukkan imej negeri haruslah dilaporkan segera kepada beliau untuk mengelakkannya menjadi lebih teruk.

Tegas Dr Zambry, beliau bersedia menerima laporan dan cadangan mengenai sebarang perlakuan negatif, apatah lagi terdapat beberapa kes sedemikian yang berlaku sebelum ini.

“Kita tidak akan membenarkan budaya ini berlaku di Perak, sehinggakan ada yang berani menggunakan nama saya kononnya untuk meminta wang pendahuluan bagi kelulusan projek, bila saya dapat tahu, saya pun amat terkejut.

“Ada juga penyelewangan yang melibatkan ratusan ribu ringgit, termasuk mereka yang memalsukan dokumen, justeru sekiranya ada perkara sebegini berlaku, sila maklumkan kepada saya dengan segera,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Tahun Baru Cina PCCCI di Weil Hotel pada Ahad.

Menurutnya, perlakuan oleh individu tidak bertanggungjawab itu juga akan memusnahkan kestabilan ekonomi negeri Perak, sekaligus menjatuhkan imej dan keyakinan pelabur.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama semua pihak agar prihatin dan mengambil serius perkara berkenaan bagi memastikan kelancaran projek serta perancangan negeri.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa kemajuan dan kejayaan pembangunan di negeri ini adalah hasil kerjasama erat semua pihak, baik dari kerajaan ataupun pembangkang.

Jelasnya, budaya “politiking” harus dielakkan oleh semua parti politik, sebaliknya menumpukan perhatian kepada masalah setempat yang boleh diselesaikan secara muafakat.

“Bagi mencapai keharmonian sosial di negeri ini, kita tidak akan membenarkan sebarang elemen asing mengganggu kestabilan yang ada dan semua pihak harus berusaha mengekalkan apa yang telah kita kecapi hari ini.

“Untuk apa kita memandang kepada kemewahan harta benda sekiranya kita gagal mengekalkan keamanan dan keharmonian yang wujud dalam komuniti berbilang etnik ini? kata Dr Zambry.