BUTTERWORTH: Mahu menunjuk kepada teman wanita. Itu punca seorang lelaki bertindak melarikan sebuah kereta peronda polis (MPV) dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU), kelmarin.

Dalam kejadian itu, suspek yang berusia 33 tahun dipercayai berpakat dengan adik lelakinya berusia 28 tahun me­larikan kenderaan jenis Honda Civic 1.8S dari IPD berkenaan kira-kira pukul 9.15 malam.

Menurut sumber, sejurus selepas berjaya melarikan kereta itu, suspek yang disyaki mempunyai masalah mental, mengambil teman wanitanya berusia 28 tahun dan meninggalkan adiknya di Tasek Gelugor di sini sebelum memandu menuju ke ibu kota.

Difahamkan, suspek dan adiknya melarikan kereta itu selepas menyamar sebagai anggota polis dari bahagian Sumber Teknologi Maklumat yang mahu membuat pemeriksaan ke atas kamera papan pemuka MPV di IPD berkenaan.

“Ketika itu, terdapat seorang penyelia MPV berpangkat sarjan sedang bertugas dan suspek mengambil kunci kereta dari rak sebelum meninggalkan sebuah komputer riba.

“Kejadian itu dikatakan berlaku dengan pantas dan suspek memecut MPV tersebut keluar dari pekarangan IPD tanpa penyelia itu mengesyaki sesuatu,” katanya di sini semalam.

Katanya, penyelia tersebut bagaimanapun menyedari kereta itu dilarikan selepas setengah jam suspek tidak kembali semula ke IPD berkenaan.

Malah, tambahnya, polis juga gagal menghubungi kenderaan tersebut menerusi alat walkie talkie.

Tambahnya, MPV itu kemudian dikesan di Shah Alam, Selangor selepas kira-kira empat jam dilarikan sebelum polis menahan suspek dan teman wanitanya yang berada di dalam kereta tersebut di satu persimpangan lampu isyarat.

“Siasatan ke atas suspek mendapati dia mengambil wa­nita itu di Tasek Gelugor dan cuba me­nyamun sebuah kedai runcit di situ sebelum memandu ke Shah Alam,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan kedua-dua mereka, polis turut menahan adik lelaki suspek di Tasek Gelugor awal pagi semalam.

Sumber itu berkata, siasatan lanjut mendapati suspek utama berkenaan pernah ditahan 15 Oktober lalu kerana mencuri kabel elektrik selain dia dan adiknya mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua beradik ber­kenaan adalah penagih dadah tegar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor mengesahkan kejadian tersebut dan menjelaskan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE