SHAH ALAM: Kehadiran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamuddin di Mahkamah Shah Alam untuk mendengar keputusan inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib Mohd Kassim mendapat perhatian satu kumpulan diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam.

Ketika Zuraida sedang mengadakan sidang media di luar bangunan Mahkamah Shah Alam, kumpulan itu diketuai Lokman meminta menteri itu berundur berulang kali.

“Balik, undur Zuraida,” laung kumpulan itu di luar bangunan Mahkamah Shah Alam.

Kumpulan tersebut juga menggesa pihak berkuasa menangkap pembunuh yang menyebabkan kematian Adib.

“Tangkap pembunuh,” laung kumpulan itu berulang kali.

Zuraida menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan seterusnya susulan keputusan Mahkamah Koroner bahawa Adib mati dibunuh akibat perbuatan jenayah.

Zuraida berharap keputusan hari ini diterima seluruh rakyat Malaysia termasuk keluarga Adib.

Koroner memutuskan Adib menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 Nov lalu.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues kematian Adib memutuskan perkara itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi sepanjang siasatan berjalan.

-FMT