AYER KEROH : Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepemimpinan dan ahli parti itu supaya tidak salah faham dengan slogan ‘lawan tetap lawan’ yang dicetuskan menerusi gerakan reformasi.

Sebaliknya, beliau mahu ahli dan pemimpin parti memahami prinsip slogan itu adalah untuk melawan ‘musuh’ politik dan bukan sesama rakan dalam wadah perjuangan.

Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya kembali sebagai satu pasukan kerana PKR sudah melalui tempoh penderitaan panjang sepanjang penubuhannya, malah perjuangan parti bermula di jalanan atas semangat rakyat.

“Kita harus kembali sebagai satu pasukan. Memanglah betul kita guna slogan ‘lawan tetap lawan’, tetapi lawan jangan dengan kawan. Ini lawan dengan kawan buat apa,” katanya berucap merasmikan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan tiga Naib Presiden iaitu Zuraida Kamaruddin; Tian Chua dan Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Turut serta, barisan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir serta Ketua Wanita, Haniza Talha.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, ahli parti harus kembali merujuk dan memahami Perisytiharan Reformasi dalam mencari jawapan terhadap permasalahan yang timbul dalam parti.

“PKR memilih wadah ini (reformasi) untuk menjadikan parti yang memperjuangkan isu berkaitan rakyat, isu kemiskinan, yang terpinggir,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar mengakui membuat keputusan sukar apabila membenarkan Mohamed Azmin merasmikan Kongres AMK walaupun ketetapan itu mengecewakan Akmal Nasrullah dan sayap itu secara keseluruhannya.

“Akmal dan anggotanya tidak harus kecewa dengan keputusan saya membenarkan Mohamed Azmin merasmikan Kongres AMK. Kita harus melihat keputusan ini dalam kerangka lebih sebagai satu keluarga besar.

“Ini bukan keputusan yang mudah, tapi tengok (hasilnya), kongres yang berlangsung cukup hebat,” katanya.

Anwar turut mahu kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak terlalu yakin dengan mandat diberikan rakyat dan sombong dengan kuasa dikecapi, sebaliknya perlu menyelesaikan permasalahan akar umbi.

Merujuk kepada kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, beliau menyifatkan keputusan itu sebagai peringatan kepada pimpinan PH.

“(Pilihan raya kecil) Tanjung Piai telah berlalu. Ini kejutan luar biasa dan sejarah dalam politik negara. Belum pernah dalam sejarah, kerajaan yang memerintah mendapat tamparan begitu hebat.

“Ambil iktibar, tawaduk, anggaplah (keputusan PRK) itu sebagai peringatan kepada semua kepemimpinan PH.

“Alhamdulillah dalam mesyuarat PH, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ambil pendekatan untuk mendengar penilaian dan meneliti semua pimpinan termasuk (Tan Sri) Muhyiddin Yassin sebagai pengarah (pilihan raya).

“Saya lega kerana sikap lebih positif sedia terima kenyataan dan mesej rakyat di bawah dengan jelas, justeru pemimpin di atas harus dengar baik-baik,” katanya.

Anwar turut mengimbau semula ‘pergelutan’ selama 20 tahun PKR dibina terutama dalam menyatukan semua kaum dalam sebuah parti politik.

“Parti ini dibangun dengan derita sebagai parti jalanan. Tauke besar tidak bersama-sama dengan kita, orang kaya tidak memberi dana kepada kita tapi rakyat dan cita-cita bersama-sama dengan kita,” katanya.

Beliau berkata, isu membela rakyat terutama memperjuangkan hak semua kaum di negara ini tidak pernah menjadi beban kepada PKR.

Menegaskan isu membela rakyat tidak pernah menjadi bebanan sepanjang pergelutan 20 tahun parti itu, Anwar berikrar PKR memilih rakyat terutama yang kurang bernasib baik, miskin dan terpinggir dengan majoritinya kaum Melayu dan Bumiputera.

Pada masa sama, katanya, masyarakat India di estet atau Cina pinggir bandar yang miskin tetap menjadi keutamaan PKR.

Beliau berkata, PKR tetap komited kepada menyelesaikan masalah ekonomi rakyat semua kaum terutama berkaitan dengan pembasmian kemiskinan dan kesenjangan ekonomi.