KUALA LUMPUR : Lawyers for Liberty (LFL) meluahkan rasa bimbang susulan pengumuman kerajaan bahawa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma tidak akan dimansuhkan tetapi sebaliknya sekadar dipinda.

Pengarahnya, Melissa Sasidaran berasa kerajaan baru tidak perlu diingatkan tentang bagaimana Sosma disalahguna pada masa lalu, termasuk menjadikan mereka yang menentang kerajaan dan pembangkang sebagai sasaran.

“Undang-undang penindasan ini tidak boleh secara ajaib bertukar menjadi undang-undang yang adil hanya kerana PH yang berkuasa hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sasidaran menuduh Sosma gagal bertindak secara adil dan tidak menepati piawaian antarabangsa, yang menjadi hak asas yang wajar diberikan kepada sesiapa yang berdepan dengan sesuatu pertuduhan jenayah.

“Bukti yang lazimnya tidak diterima dalam perbicaraan jenyah bakal diterima jika dalam perbicaraan Sosma.

“Ini termasuk keterangan yang diperolehi secara penindasan, penyeksaan dan malah juga fabrikasi kerana bukti yang dikemukakan itu biasanya akan diterima tidak kira bagaimana ia diperolehi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata tertuduh juga tidak akan dapat mencabar atau memeriksa balas kebanyakan bukti yang diterima di bawah Sosma kerana, akta itu membenarkan saksi yang dilindungi memberi keterangan tanpa mendedahkan identiti mereka dan dengan itu melanggar asas perbicaraan yang adil.

Sehubungan itu, Sasidaran menggesa agar kerajaan supaya segera memansuhkan Sosma dan undang-undang penindasan yang lain.

“Malaysia tidak boleh mendakwa dirinya sebagai negara demokrasi sementara undang-undang drakonian ini masih wujud dalam buku statut kita,” katanya.