IPOH: Kira-kira 1,000 peserta terdiri  daripada pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai Seminar Jenayah Seksual Kanak-Kanak:Hentikan!! di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Sabtu.

Program ini merupakan anjuran kerajaan negeri dan BAIDURI dengan kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Wanita Prihatin.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hadir bagi merasmikan majlis penutup seminar itu yang bermula seawal jam 8 pagi.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria serta Isteri Menteri Besar selaku Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dr. Zambry dalam ucapannya berkata program ini penting bagi menyelami masalah dan isu jenayah seksual kanak-kanak tanpa mengira latar belakang parti.

Seminar ini juga merupakan kesinambungan seminar sama yang telah berlangsung pada 13 hingga 14 Mac di PWTC hasil inisiatif Isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor.

Antara pengisian di sepanjang seminar berlangsung ialah slot Memahami Jenayah Seksual Kanak-Kanak Di Malaysia oleh Ketua Bahagian Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Datuk Dr Amar-Singh.

Slot Kedua, Jenayah Seksual Kanak-Kanak Daripada Pandangan Agama oleh Ustaz Harith Fadzilah Abd Halim

Slot ketiga Klik dengan Bijak oleh Ketua Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Perak, Hanita Izam Abdul Rahman

Manakala slot terakhir, Forum Jom Bertindak Peranan, Tanggungjawab dan Tindakan Komitmen Dalam Membanteras Jenayah Seksual Kanak-Kanak oleh Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, How May Ling dan Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Shamsudin Osman.