BANGI: Kementerian Kewangan sudah mengadakan pertemuan terbuka dengan lebih 11,000 orang bagi memberi penerangan berhubung mekanisme pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata jika sebelum pilihan raya rakyat mendengar suara pemimpin, sekarang pemimpin perlu mendengar suara rakyat.

“Rakyat dengar suara kita dalam ceramah dan kempen, kini tiba masanya untuk kerajaan mendengar pula suara rakyat.

“Seperti apa yang saya lakukan dalam tempoh dua minggu ini mengenai cukai SST, saya turun padang dan dengar pendapat rakyat.

“Ini pun saya baru balik dari Bentong dan saya sudah adakan 13 sesi bersama lebih 11,000 orang secara langsung.

“Berdepan dengan 11,000 orang ini adalah satu proses perbicaraan dengan rakyat, saya yakin selepas ini kita akan dengar suara rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong di Dewan Utama Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, hari ini.