IPOH, 24 DIS – Lebih 1,700 usahawan serta komuniti telah mendapat manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) berjumlah hampir RM 3 juta sepanjang tahun ini.

Dalam masa sama, PPPNP akan menambah baik beberapa program khusus, antaranya pertanian bandar; pertanian luar bandar dan projek bersepadu pembangunan ekonomi kampung.

Beberapa kumpulan komuniti menyifatkan usaha perbadanan itu memberi banyak manfaat kepada mereka, lebih-lebih lagi untuk membantu komuniti yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Wakil Maahad Tahfiz al Quran Lid Dakwah Wal Imamah, Lenggong, Muhammad Rif’aat Razman berkata, mereka telah mengusahakan hampir seekar kawasan tanaman cili sejak hampir setahun lalu.

“Permohonan yang kami minta ialah bantuan untuk kebun cili dan dengan bantuan ini kami mengusahakan kebun cili dan keuntungan daripada projek ini insya Allah kami akan gunakan untuk pembangunan maahad tahfiz.

“Sebelum ini kami buat projek secara bersendirian tetapi kami memerlukan khidmat nasihat dan bantuan untuk mengembangkan lagi projek cili kami,” katanya ketika ditemui ketika majlis penyampaian bantuan oleh Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad di sini, hari ini.

Bagi Penghulu Mukim Tanjung Rambutan, Robiah Mohamed, projek cili fertigasi yang diusahawan penduduk Villa Medan Desa Perpaduan, Bandar Baru Putra bukan sahaja boleh membantu meningkatkan ekonomi peserta tetapi juga merapatkan silaturrahim.

“Kami baru sahaja mengusahakan dan mula diberi bantuan pada 12 November 2020 dengan fertigasi cili sebanyak 500 polibag dan sudah mengelurkan cili dalam dua inci.

“Kami bercadang untuk memohon lagi tambahan sebab ada kawasan lapang dan dan program ini disertai oleh komuniti kampung yang dianggotai oleh Melayu, Cina dan India.

“Manfaat yang saya rasakan dapat meningkatkan ekonomi dalam COVID-19 ini dan ditambah pula dapat mengeratkan silaturrahim antara komuniti itu sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar berharap pada tahun hadapan, perbadanan memberi tumpuan khusus dalam merancakkan semula aktiviti ekonomi supaya rakyat yang terlibat dalam bidang pertanian dan asas tani dalam mendepani impak buruk susulan pandemik COVID-19.