KABUL : Pasukan tentera udara Afghanistan melancarkan beberapa serangan ke atas kedudukan Taliban semalam membunuh lebih 30 pemberontak, ketika Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, sekali lagi menggesa gencatan senjata diadakan.

Puak Taliban mendakwa serangan itu turut mengorbankan kira-kira 24 orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, ketika rundingan damai sedang dalam proses di Qatar sekarang.

Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan di Twitter, berkata pagi ini puak Taliban menyerang kedudukan tentera di daerah Khan Abad, dalam wilayah Kunduz .

“Pasukan tentera membalas semula serangan berkenaan, menggunakan prosedur pertahanan aktif.

“Lebih 30 anggota Taliban termasuk dua komander terbunuh dalam serangan terbabit,” katanya.

Taliban pula, dalam satu kenyataan balas, menafikan pejuang mereka terbunuh dan sebaliknya mendakwa serangan itu meragut nyawa kira-kira 24 orang awam.

Menurut Kementerian Pertahanan Afghanistan, mereka ambil maklum dakwaan berkenaan dan akan melancarkan siasatan.

Pengarah hospital tempatan, Mohammad Naeem Mangal, berkata tiga orang awam maut manakala tiga lagi cedera dan dibawa ke premis itu untuk rawatan lanjut.

Serangan itu dilancarkan sejurus sebelum Ashraf sekali lagi menggesa gencatan senjata dilakukan bagi melindungi rakyat, mencegah keganasan dan mencapai keamanan berterusan.

Permintaan itu bagaimanapun tidak dihiraukan kumpulan pemberontak setakat ini, walaupun mengadakan dua perjanjian damai pendek, sebelum siri rundingan bermula minggu lalu di Doha. – AFP